Zainab (dua dari kanan) bersama pekerjanya melayan pelanggan di kedainya. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Udang celup tepung yang dijual di kedai makan milik Zainab. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini
am@hmetro.com.my


SATU tan udang segar disediakan seorang peniaga di Penarik, dekat Permaisuri, setiap hari selepas kedai makannya dikunjungi ramai apabila ia tular di media sosial berikutan menjual sebanyak 45 ekor udang celup tepung pada harga RM10.

Pemilik kedai makan Trizai, Zainab Mohamed, 26, berkata, kedai yang diusahakan bersama suaminya, Mohd Fitri Md Yusof, 31, sejak lima tahun lalu mula menjadi tumpuan gara-gara penangan udang celup tepung murah tular di media sosial sejak tiga minggu lalu.

"Ia mula ditularkan oleh pelanggan selepas saya memasang papan iklan mengenai harga murah udang celup tepung dan ikan selayang celup tepung.

"Sebelum ini, udang celup tepung bersaiz kecil dijual dengan harga RM10 untuk 30 ekor tetapi kini saya menambahnya kepada 45 ekor pada harga sama.

"Ikan selayang celup tepung pula dijual dengan harga RM1.90 seekor berbanding sebelum ini dijual pada harga RM3 seekor," katanya yang turut menyediakan minuman teh o ais dan sirap secara percuma kepada pelanggannya.

Berikutan itu juga, Zainab terpaksa menambah jumlah pekerja daripada 10 orang pekerja tetap dengan mengambil kira-kira 20 orang lagi pekerja sambilan untuk melancarkan lagi operasi di kedainya itu.

Menurutnya, kebanyakan pelanggan yang singgah ke kedainya bukan hanya dalam kalangan penduduk setempat sahaja tetapi juga orang luar seperti Johor, Kuala Lumpur yang datang bercuti di Terengganu.

Menurutnya, dia menyediakan bekalan kira-kira tiga tan udang segar untuk empat hari ketika cuti panjang baru-baru ini tetapi tidak mencukupi kerana habis dalam tempoh tiga hari.

"Kami dapat menjual dengan harga murah untuk menarik pelanggan kerana mudah mendapat bekalan udang segar dari pembekal iaitu bapa mentua saya sendiri (Md Yusuf Embong) yang diperoleh dari ladang ternak udang Kampung Nyatoh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2017 @ 3:10 PM