PEGAWAI SPRM membawa suspek ke Mahkamah Majistret Putrajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Siti A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


SEORANG pengurus syarikat cari gali serta dua lagi individu direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes mengemukakan invois palsu berjumlah AS$5.56 juta (RM23.65 juta) pada 2015.

Perintah tahanan itu dikeluarkan ke atas semua suspek oleh Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman di Mahkamah Majistret Putrajaya sehingga 11 September ini.

Dua lagi individu yang ditahan ialah seorang wanita iaitu pengarah syarikat kontraktor dikatakan dilantik untuk melaksanakan projek itu serta bekas pembantu teknikal syarikat cari gali berkenaan.

Mereka ditahan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam antara 2.40 petang dan 3 petang.

Berdasarkan laporan, suspek dipercayai mengemukakan tuntutan palsu melalui tiga invois syarikat kontraktor itu antara April hingga Jun 2015 bagi kerja yang sepatutnya dilakukan syarikat berkenaan.

Difahamkan, tuntutan itu sudah dibayar oleh syarikat cari gali berkenaan kepada syarikat kontraktor itu, namun tiada kerja dilaksanakan bagi tuntutan itu.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Terdahulu, ketiga-tiga suspek dibawa oleh pegawai SPRM ke mahkamah jam 11.20 pagi dan tangan mereka bergari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2017 @ 1:23 PM