PEDANG samurai bersama barang yang dirampas polis. FOTO ihsan Polis
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


DUA lelaki dan seorang wanita yang terbabit dalam empat kejadian samun sejak Isnin lalu ditahan polis di rumah inap di Padawan, malam tadi.

Suspek berusia 19 hingga 26 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching pada 8.30 malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, suspek yang menggunakan pedang samurai dan bertopi keledar itu menyamun kedai serbaneka 24 jam di Padawan, Kota Samarahan dan Kuching pada awal pagi.

Menurutnya, suspek juga dilaporkan menyamun lelaki berusia 18 tahun selepas melanggar di Jalan Kota Samarahan, awal pagi semalam.

"Berdasarkan laporan yang diterima, satu pasukan khas ditubuhkan untuk mengesan suspek.

"Bertindak atas maklumat risikan, serbuan dijalankan di rumah di Padawan serta merampas pedang samurai, topi keledar dan kereta yang digunakan ketika kejadian," katanya dalam kenyataan di Kuching, hari ini.

Dev berkata, polis juga menemui rokok yang disamun dan jumlah kerugian dalam empat kejadian itu dianggarkan mencecah RM3,000.

Beliau berkata, semua suspek yang ditahan positif syabu dan setakat ini polis masih menyiasat tempoh kumpulan berkenaan aktif melakukan jenayah.

"Polis akan mendapatkan perintah reman terhadap suspek hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan menggunakan senjata," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2017 @ 10:40 AM