Nabihah Kamal
nabihah.kamal@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Dulu dia melabur dalam saham, namun nilai saham semakin merudum menyebabkan dia beralih kepada mainan.

Pengurus tapak projek Shakib Abdul Hamid, 32, membuktikan peralihan yang dipilih itu berbaloi apatah lagi mengumpul mainan memang hobinya.

Menurutnya, sehingga kini dia berhabis RM100,000 bagi memiliki koleksi mainan seperti patung watak Marvel, DC Comics, Transformers dan Star Wars serta tinggi nilainya di pasaran.

Katanya, mainan itu dikumpul selama dua tahun sebagai pelaburan.

“Dalam suasana ekonomi yang tidak berapa baik, pelaburan saham saya semakin merudum.

“Oleh itu, saya bertukar kepada melabur mainan sebelum menjualnya semula kepada pengumpul dan peminat mainan secara dalam talian,” katanya.

Menurut Shakib, dia membeli beberapa unit mainan untuk setiap karakter yang dianggap unik.

“Mainan ini perlu diperap sehingga tempoh matang supaya harganya meningkat. Risiko dalam pelaburan ini memang ada, namun kita perlu tahu bila masa yang sesuai untuk menjual koleksi yang dikumpul.

“Harga mainan akan meningkat jika pengeluar produk itu menghentikan pengeluaran menyebabkan pengumpul sanggup membida sehingga ribuan ringgit bagi mendapatkan mainan berkenaan.

“Mainan ini saya beli di kedai mainan sekitar Kuala Lumpur dan ketika melancong ke luar negara seperti Amerika Syarikat,” katanya.

Menurut Shakib, melabur menerusi koleksi mainan memang menguntungkan, namun perlu ada kesabaran.

“Tempoh untuk menerima semula pulangan modal pelaburan berkenaan bukan sebulan dua kerana ia mungkin memakan masa sehingga bertahun-tahun. Namun ia berbaloi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2017 @ 6:16 AM
ANTARA koleksi mainan unik dan popular yang dimiliki Shakib.
SHAKIB mengumpul koleksi mainan bernilai tinggi.