SHAMSUL menyampaikan bantuan segera kepada anak mangsa kebakaran, di Kampung Bandar Siong.
Safuri Kamarudin
am@hmetro.com.my

Baling: Anak pasangan suami isteri, Mohd Nazri Ismail, 40, dan Salawati Romli, 39, yang melecur dalam kebakaran tujuh rumah kedai di Kampung Bandar, Mukim Siong, di sini, kelmarin, kini menumpang sementara di rumah ibu saudara mereka.

Ketika ditemui wartawan semalam, Fatin Nor Athirah,17, yang juga anak sulung pasangan itu, mengakui dia dan tiga adiknya, Muhamad Fikri, 14, Fatin Nur Insyirah, 10, dan Muhamad Fawwas Fitri yang berusia tiga tahun masih trauma dengan kejadian menimpa ibu bapa mereka.

“Apapun saya akan menjaga adik dengan baik dan menjelaskan apa yang berlaku ke atas emak dan ayah.

“Walaupun masih trauma dengan kejadian itu yang berlaku di depan mata tetapi saya akan memastikan mereka terus ke sekolah,” katanya ketika menerima kunjungan Pegawai Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling, Shamsul Izrin Isahak, semalam.

Fatin Nor Athirah, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baling berkata, kebakaran berlaku ketika mereka tidur, manakala ayah dan ibu mereka sudah bangun untuk memasak.

“Tiba-tiba terdengar ayah menjerit api dan disusuli bunyi letupan di ruang dapur.

“Saya bingkas bangun apabila ternampak api dan mengejutkan adik-adik untuk menyelamatkan diri,” katanya ditemui di rumah ibu saudaranya, Siti Zuraidah Romli, 38, di Kampung Bandar, Siong, semalam.

Turut hadir, Pegawai Lembaga Zakat Negeri Kedah Cawangan Baling, Ahmad Mustaqim Zainul Abidin; Penghulu Mukim Siong, Mohd Yusof A Rasid; Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bandar, Sabriena Othman dan Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Baling, Noor Azman Ramli.

Fatin Nor Athirah berkata, mereka adik-beradik sedih apabila kedua ibu bapa mereka cedera dalam kebakaran itu.

“Lebih pilu apabila ayah masih koma di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, manakala ibu juga ditahan di wad Hospital Baling (HB) kerana melecur di tangan kanan dan kiri serta terseliuh kaki kanan ketika cuba membawa adik keluar rumah.

“Saya reda dengan kejadian itu dan berharap ibu dan bapa cepat sembuh,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Baling, Md Shuhaime Abd Rahman, berkata, mangsa kebakaran dibantu segera oleh jabatan yang terbabit di atas musibah yang berlaku sejak kelmarin.

Beliau berkata, Pejabat Daerah Baling akan membiayai perbelanjaan persekolahan kanak-kanak berkenaan selama tiga bulan dan juga pakaian harian.

“JKM juga menghulurkan bantuan segera RM300 bagi menampung perbelanjaan persekolahan kepada mereka berkenaan, manakala Pejabat Zakat menyedia baju, seluar dan beg sekolah.

“Pejabat Zakat juga menyalurkan bantuan musibah alam RM1,500 kepada mangsa dan juga pemilik kedai yang ditimpa bencana itu,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bencana, di Pejabat Daerah, semalam.

Md Shuhaimi berkata, kelmarin Pejabat Khidmat Ahli Parlimen Baling menyalurkan bantuan barangan makanan dan tilam kepada mangsa.

“Pejabat Daerah dan JKM turut mengedar kit bantuan bencana RM500 hingga RM1,000 kepada mangsa kelmarin dan akan mengkaji bantuan seterusnya kerana mereka mencari nafkah di kedai itu dengan menjalankan perniagaan di situ,” katanya.

Dalam kejadian 6 pagi kelmarin, dua kedai makan, tiga kedai runcit, kedai perkakasan dan kedai menjual barangan RM2 serta dua rumah membabitkan 50 penghuni musnah 90 peratus dalam kebakaran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2017 @ 5:53 AM