DR Asma (dua dari kiri) beramah mesra dengan pelajar baru pada majis lafaz ikrar pelajar baru USM Pulau Pinang.
Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my

Georgetown: Kisah hidup anak yatim piatu ini berubah selepas demam panas ketika berusia 11 tahun sehingga kedua-dua belah matanya menjadi buta dan dijaga sepupunya.

Walaupun kurang upaya, kecekalan menuntut ilmu membuahkan hasil apabila diterima masuk ke Universiti Sains Malaysia (USM) bagi mengikuti program pengajian Ijazah Sarjana Muda sepenuh masa dalam bidang Sastera.

Pelajar dari Buntong, Perak, A Mahavithia, 22, berkata bapanya, Arumugam meninggal dunia ketika masih bayi, manakala ibunya, Sita Lecthumi, meninggal dunia ketika dia berusia lima tahun akibat barah payudara.

Katanya, kemasukannya ke USM dianggap rezeki berikutan permohonannya menyambung pengajian pernah ditolak lima universiti tempatan berikutan tiada kemudahan bagi orang kurang upaya (OKU).

“Ada hikmahnya permohonan saya ditolak kerana mungkin saya tidak dapat menyesuaikan diri di universiti terbabit. Namun, ia bukan alasan untuk tidak menyambung pengajian dan sepanjang kuliah, saya akan menggunakan bahan bacaan bertulisan braille, manakala komputer riba pula dilengkapi aplikasi pandu suara.

“Perasaan saya gembira bercampur sedih kerana tidak dapat berkongsi detik ini bersama ibu bapa dan berazam mahu menyambung pengajian ke peringkat tertinggi bagi mencapai impian sebagai warga pendidik,” kata anak kedua daripada empat beradik itu ketika ditemui, semalam.

Mahavithia antara 10 pelajar OKU yang ditemui pada Majlis Meraikan Pendaftaran Pelajar Baru ke USM bagi program Pengajian Ijazah Sarjana Muda Sidang Akademik 2017/2018 di universiti berkenaan, semalam.

Terdahulu, 3,931 pelajar baru berkenaan turut mendengar ucaptama daripada Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Asma Ismail.

Sementara itu, OKU cacat fizikal, Muhammad Aslam Abdul Aziz, 21, dari Sungai Pinang dekat sini, pula berazam tidak mahu melepaskan peluang bagi mengikuti pengajian dalam bidang Sastera selepas terpaksa berhenti belajar di universiti tempatan akibat masalah kesihatan, tahun lalu.

Dia berkata, kemalangan jalan raya empat tahun lalu menyebabkan kaki kanannya patah sebelum beberapa bulan kemudian kakinya itu dijangkiti kuman sehingga berdepan kesukaran untuk bergerak.

“Mungkin saya akan ‘iri hati’ dengan rakan pelajar kerana tidak mampu terbabit dalam acara sukan padang di USM, tetapi saya masih boleh menyertai catur atau apa jua acara mengikut kemampuan,” kata anak sulung daripada dua beradik itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2017 @ 5:20 AM