Ya’acob meninggal dunia di tempat kejadian apabila motosikal ditunggang terbabas di Kilometer 128 Lebuh Raya Timur-Barat, kelmarin.
Mohamed Sahidi Yusof
am@hmetro.com.my


Jeli: Dia sepatutnya menjadi seorang daripada marshall bagi konvoi motosikal berkuasa tinggi bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, petang semalam.

Namun, hajat Ya’acob Abd Rahim, 56, tidak kesampaian apabila terbabit kemalangan di Kilometer 128, Lebuh Raya Timur Barat, kira-kira jam 3 petang kelmarin.

Arwah yang menunggang BMW RT 1,200cc ketika itu dalam perjalanan dari Negeri Sembilan menghala ke Jeli dikatakan terbabas susulan jalan licin.

Mangsa parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian.

Adik iparnya Mohd Darus Haron, 47, berkata, dia mengetahui kejadian menimpa Ya’acob apabila dimaklumkan kakaknya Rokiah Haron, 50, pada jam 5.30 petang.

“Ketika itu kami diberitahu mayat abang ipar sudah dihantar ke Hospital Jeli (HJ) dan saya bergegas ke sana.

“Arwah seorang berpengalaman dan aktif dalam kegiatan menunggang motosikal berkuasa tinggi tetapi hasratnya bersama mengiringi konvoi Timbalan Perdana Menteri di Jeli kali ini tidak kesampaian,” katanya, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Mohd Yusoff Jaafar berkata, mayat mangsa yang dihantar ke HJ untuk dibedah siasat sudah dituntut keluarga untuk pengebumian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2017 @ 4:45 AM