Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


IKEA Malaysia memperkenalkan kepada media katalog 2018, hari ini untuk pasaran di negara ini bertema 'Make Room for Life' dengan fokus utama kepada ruang tamu.

Katalog itu juga sebagai sumber rujukan dan inspirasi untuk penduduk di negara ini yang mahu melakukan susun atur perabot dan dekor dengan ruang dalaman rumah yang terhad.

Pengurus Stor IKEA Mutiara Damansara, Gerard Jansen berkata, gaya hidup masyarakat di negara ini berubah terutama cara bersosial dan katalog 2018 menggunakan sepenuhnya ruang tamu yang ada dengan menyasarkan empat teras utama iaitu rakan, keraian, bermain dan alam semulajadi.

"Pilihan produk kami menawarkan rekaan yang menarik, mampu milik dan penyelesaian terbaik untuk keperluan fungsi dan emosi isi rumah," katanya ketika pelancaran di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, hari ini.

Antara yang terbaharu dalam katalog IKEA 2018 seperti pelbagai pilihan produk dan kelengkapan rumah, tips dan idea dan kerjasama dengan firma rekaan terkemuka Denmark, Hay dan Tom Dixon dari Britain untuk idea dekor yang menarik dan unik.

Katalog IKEA 2018 akan mula dihantar ke semua rumah di Lembah Klang bermula hari ni sehingga 19 September dan pelanggan boleh juga mendapatkannya di IKEA Damansara dan Cheras bermula 18 September serta muat turun aplikasi IKEA Catalogue daripada Apple Store dan Google Play Store dan versi digital IKEA.my/catalogue.

Turut hadir ketika majlis ini ialah pemenang pingat emas World Memory Championship 2014, Yanjaa Wintersoul yang mempunyai daya ingatan kuat serta mampu menghafal kesemua 328 muka surat katalog IKEA 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2017 @ 12:28 PM
JANSEN (kiri) dan Yanjaa memperkenalkan katalog IKEA 2018 untuk pasaran Malaysia. FOTO Eizairi Shamsudin