NURUL Nadiah (kiri) dan Nurul Najwa menunjukkan surat tawaran ketika tiba pada hari pertama pendaftaran penuntut baru UTM. FOTO Hairul Anuar Rahim
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


SEPASANG kembar seiras tidak sabar memulakan pengajian dalam jurusan Pengurusan Sumber Manusia apabila mereka yang tidak pernah berpisah sejak kecil ditawarkan jurusan itu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, hari ini.

Pasangan Nurul Nadiah Abdul Halim, 21, dan Nurul Najwa Abdul Halim, 21, bukan sahaja tidak pernah berjauhan, malah sebelum ini turut bersama-sama menuntut dalam jurusan Pengurusan Teknologi ketika mengambil diploma di UTM Jalan Semarak, Kuala Lumpur selama tiga tahun.

Nurul Nadiah berkata, mereka bersyukur apabila ditawarkan jurusan dan tempat pengajian yang sama membolehkan mereka terus belajar bersama dan sekali gus bersama-sama mencapai cita-cita yang diimpikan.

"Walaupun kali ini kami tidak mendapat bilik kediaman yang sama, tetapi masih bersebelahan memudahkan saya menjaga adik (Nurul Najwa) dan mudah untuk kami berjumpa.

"Apabila ditawarkan tempat pengajian yang sama seperti ini, kami ada kelebihan tersendiri kerana tidak perlu takut untuk mencari kawan dan tidak gementar walaupun di tempat baru kerana apa-apa kami akan bersama," katanya yang berasal dari Johor dan menetap di Bangi, Selangor.

Pasangan kembar itu antara 4,012 penuntut sarjana muda yang mendaftarkan diri di UTM bagi sesi 2017/2018, hari ini.

Menurut Nurul Nadiah, biarpun masing-masing sudah semakin dewasa, dia dan adiknya tetap tidak mahu berpisah atau berjauhan menyebabkan ketika mengisi borang permohonan untuk kemasukan universiti, mereka membuat semua pilihan universiti dan jurusan yang sama.

"Sebenarnya ia mudah bagi kami untuk berbincang tentang pelajaran, tambahan pula kami jarang bergaduh," katanya yang ditempatkan di Kolej 9-10, UTM.

Selain berharap dapat mencapai cita-cita dalam bidang sumber manusia, Nurul Nadiah berkata, mereka turut berharap dapat memperoleh anugerah dekan bagi setiap semester pengajian di universiti itu.

Sementara itu, Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid Omar berkata, 6,101 penuntut ditawarkan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda dan pasca siswazah.

"Ia membabitkan 4,012 penuntut sarjana muda dengan pecahan 3,612 penuntut tempatan, manakala baki 400 lagi antarabangsa.

Bagi pasca siswazah 1,235 membabitkan 1,015 penuntut tempatan dan 220 antarabangsa ditawarkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana, manakala 854 lagi ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD)," katanya ketika sidang media selepas mengadakan lawatan ke Kolej Rahman Putra, UTM bagi meninjau suasana hari pendaftaran, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2017 @ 4:29 PM