MAYAT Maimunah tiba di Hospital Dungun untuk proses bedah siasat. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


WARGA emas yang hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Bukit Murai, Tok Kah di Dungun, Rabu lalu ditemui meninggal dunia di kawasan ladang kelapa sawit, hari ini.

Mayat Maimunah Musa, 98, ditemui oleh mandur ladang kelapa sawit berkenaan dalam keadaan tersembam kira-kira 9 pagi.

Ketika ditemui dalam jarak kira-kira 1.2 kilometer dari rumahnya, mangsa hanya memakai kain batik warna jingga.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat mangsa terbabit.

Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota polis turut ke tempat kejadian selepas dimaklumkan mengenai penemuannya itu sebelum membawa mayatnya ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat.

Sebelum ini dilaporkan, mangsa yang sudah uzur dan turut menghidap penyakit lelah itu ditinggalkan anaknya, Hasnah Jafar, 52, untuk menghadiri kenduri perkahwinan saudara mereka di Pasir Putih, Kelantan dan meminta anaknya yang tinggal bersebelahan untuk menjenguk.

Hasnah hanya menyedari ibunya hilang sebaik tiba di rumahnya, 10.30 malam Rabu lalu sebelum mencarinya di sekitar kawasan kediamannya itu.

Keluarga mangsa kemudiannya membuat laporan mengenai kehilangan mangsa pada pagi keesokkan harinya sebelum polis bersama 50 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Bagaimanapun, SAR dihentikan semalam selepas usaha pencarian pada jarak 10 kilometer dari rumahnya gagal.

Berita berkaitan:

Masih gagal dijejaki

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2017 @ 2:17 PM