KERATAN laporan semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


KEDAI emas di pusat beli-belah di Taman Anggun, Rawang, yang disamun sekumpulan lelaki, petang Aidiladha pertama, kerugian kira-kira RM1.5 juta.

Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad, berkata suspek melarikan pelbagai jenis barangan kemas daripada empat meja pameran yang dipecahkan dalam kejadian itu.

"Semua barangan kemas yang dilarikan dianggarkan bernilai RM1.5 juta berdasarkan maklumat yang diberikan oleh pihak pengurusan kedai emas itu," katanya.

Ali berkata, pihaknya juga sudah mengenal pasti kumpulan yang terbabit dalam kejadian itu berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

"Siasatan lanjut berhubung kejadian itu masih dijalankan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971," katanya.

Enam lelaki yang bersenjatakan pistol dan tukul besi menyamun kedai emas terbabit dalam kejadian 6.40 petang, Adiladha pertama.

Tiga daripada suspek yang memasuki premis itu memecahkan empat cermin meja pameran dan melepaskan satu das tembakan di siling sebelum melarikan barangan kemas.

Berita berkaitan

Rompakan petang Aidiladha

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2017 @ 11:25 PM