FOTO ini dibekalkan oleh Polis Diraja Malaysia
Mohammad Ishak
am@hmetro.com.my


POLIS sedang memburu lelaki dalam lingkungan 20-an bagi membantu siasatan kes samun kedai serbaneka di Jertih.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, kejadian pada 6.35 petang.

Katanya, lelaki bersenjatakan batang besi mengarahkan juruwang di kedai berkenaan menyerahkan rokok dan wang.

Menurutnya, takut diapa-apakan, juruwang itu menyerahkan RM100 dan empat kotak rokok Dunhill kepada lelaki itu.

“Suspek yang bertutur dalam loghat Kelantan terus melarikan diri sebaik mangsa menyerahkan rokok dan wang itu,” katanya.

Mohd Zamri berkata, semakan CCTV mendapati lelaki lingkungan 20-an memakai baju-t gelap bertulis Adidas dan jeans biru gelap memasuki premis itu.

Katanya, selang dua minit selepas itu, lelaki sama kemudian didapati menutup muka dengan kain melakukan samun.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Kesiksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2017 @ 11:07 PM