ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa.
Nor Raidah Awang
am@hmetro.com.my


Selama: Mayat seorang lelaki yang lemas ketika memancing ikan di Sungai Kuala Nor, Sungai Bayor, di sini, ditemui anggota keselamatan pada jam 5.20 petang semalam.

Mohd Sabri Zakaria, 31, dari Sungai Juala Nor, Banggol Jas, di sini, ditemui kira-kira 10 meter dari lokasi dia dipercayai terjatuh ke dalam sungai.

Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan pergi memancing di sungai itu, kelmarin, sebelum orang awam menemui alat memancing dan sepasang kasut milik mangsa di tepi sungai.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Selama Mohd Fauzi Razali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian berkenaan pada jam 6.15 petang lalu bergegas ke lokasi.

Beliau berkata, pihaknya melancarkan gerakan mencari dan menyelamat dengan kerjasama polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta kakitangan Majlis Daerah Selama.

Menurutnya, operasi mencari akhirnya menemui mayat mangsa pada jam 5.20 petang, semalam, 10 meter dari jarak mangsa dilaporkan terjatuh.

“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2017 @ 10:10 AM