ANGGOTA ATM Mohd Shafiq Matli membantu melapah daging lembu korban pada program Korban dan Aqiqah di Masjid Khalid Al Walid, semalam.
HM Digital

Kuala Lumpur: Pengorbanan dan jasa 10,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas sempena Hari Raya Aidiladha terutama di sempadan Malaysia-Thailand serta Laut Sulu demi mempertahankan kedaulatan negara perlu dihargai.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharum berkata, pengorbanan mereka ini yang terpaksa berjauhan dengan keluarga terutama di hari perayaan amat tidak ternilai dengan keamanan yang dikecapi rakyat ketika ini.

Menurutnya, sambutan Hari Kebangsaan, kelmarin yang disambut meriah adalah bukti pengorbanan anggota tentera.

“Demi mempertahankan negara, mereka berkorban sehingga ada yang meninggal dunia dan segelintirnya menjadi cacat seumur hidup. Maka, pengorbanan ini perlu dirasai semua.

“Saya mewakili Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Kementerian Pertahanan mengucapkan selamat berjuang demi mempertahankan keamanan dari segala ancaman. Jasa mereka ini, tidak akan kita lupakan,” katanya selepas merasmikan program Korban dan Aqiqah di Masjid Khalid Al Walid, Jalan Padang Tembak, semalam.

Hadir sama, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Sebanyak 30 lembu disembelih di masjid berkenaan hasil sumbangan Kementerian Pertahanan, pertubuhan bukan kerajaan dan orang awam. Daging korban itu akan diagihkan kepada penduduk sekitar kariah masjid dan rumah kebajikan serta anak yatim.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2017 @ 10:07 AM