NORSAFINAR Rahim, 37, bersama bayi perempuannya yang lahir pada Hari Kebangsaan 2017 di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. FOTO Shahrul Hafiz Zam dan Hafizudin Mohd Safar
Muhaamad Hafis Nawawi dan Hafizudin Mohd Safar
am@hmetro.com.my


DUA puluh lima bayi merdeka dilahirkan pada ulang tahun Hari Kebangsaan 2017 di Kedah dan Perlis, bermula 12 tengah malam tadi hingga 9.20 pagi ini.

Daripada jumlah itu, 18 bayi dilahirkan di Kedah manakala tujuh lagi di Perlis.

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail, berkata daripada 18 bayi itu, 10 adalah perempuan manakala lapan lelaki.

Katanya, bayi pertama di lahirkan di Kedah adalah perempuan 3.46 kilogram (kg) pada 12.10 tengah malam.

Menurutnya, bayi pertama itu selamat dilahirkan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

Katanya, 10 bayi dilahirkan HSB dan Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani (2), Hospital Kulim (3), Hospital Baling (2) dan Hospital Sik (1).

“HSB turut menyambut kelahiran bayi kembar lelaki," katanya ketika ditemui di HSB selepas meraikan bayi merdeka bersama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Kedah yang datang melawat dan menyerahkan 30 hamper kepada bayi merdeka.

Sementara itu, Norsafinar Rahim, 37, yang melahirkan anak perempuan ketiganya 3.2 kg pada jam 12.50 tengah malam.


SEBAHAGIAN daripada bayi merdeka di HSB. FOTO Shahrul Hafiz Zam dan Hafizudin Mohd Safar

"Saya dijangka bersalin pada 5 September. Namun, tidak sangka bersalin lebih awal dan lebih gembira jatuh pada hari kebangsaan,.

“Saya mula sakit hendak bersalin pada kira-kira 11 malam tadi. Terus ke HSB sebelum selamat bersalin dan bersyukur anak perempuan ketiga dilahirkan sihat," katanya.

Norsafinar yang menyambung pelajaran peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang Teknologi Maklumat sudah memiliki dua anak perempuan Fatimah Hanum Muhammad Hilmi, 12, dan Maryam Hanum Muhammad Hilmi, 9.

Sementara itu, di Perlis eksekutif pemasaran, Amirul Ahmad, 28, berkata, dia bersyukur kerana bukan sahaja mendapat anak sulung lelaki malah lahir pada 31 Ogos.

“Secara kebetulan seorang anak saudara saya juga dilahirkan pada tarikh 31 Ogos tahun lalu,"katanya ketika ditemui di Hospital Tuaku Fauziah, Kangar, hari ini.

Turut mengadakan lawatan isteri kepada Menteri Besar Perlis, Datin Seri Nor Aswana Omar, bersama Lembaga Pelawat Hospital bagi meraikan keluarga bayi merdeka dan melawat pesakit di HTF.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2017 @ 2:55 PM