HAMPIR 2,000 orang membanjiri Darulaman Park di Bandar Darulaman, Jitra bagi menghadiri sambutan Ambang Merdeka 2017. FOTO Aizat Sharif
Aizat Sharif
mohd.aizat@hmetro.com.my


HAMPIR 2,000 orang membanjiri Darulaman Park di Bandar Darulaman, Jitra bagi menghadiri sambutan Ambang Merdeka 2017, malam tadi.

Bertemakan "Negaraku Sehati Sejiwa" yang menjadi tema untuk Hari Kebangsaan 2017, sambutan dirasmikan oleh Exco Kedah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi dan Segi Tiga Pertumbuhan Malaysia, Indonesia dan Thailand (IMT-GT) Negeri Kedah, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail yang mewakili Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Ahmad Hanipah.

Majlis diserikan dengan kiraan detik menjelang 12 tengah malam sebelum orang ramai yang hadir bersama-sama menyanyikan lagu 'Negaraku' ketika Jalur Gemilang dinaikkan sebagai menandakan tibanya tarikh keramat 31 Ogos.

Selain itu juga, persembahan lagu patriotik dan kibaran Jalur Gemilang oleh hadirin serta anggota konvoi jelajah Merdeka dari seluruh daerah di negeri itu turut memeriahkan suasana majlis sambutan berkenaan.

Malah, acara kemuncak sambutan diakhiri dengan tembakan bunga api dan laungan Merdeka oleh tetamu kehormat termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Datuk Aminuddin Omar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2017 @ 1:46 AM