Seramai 28 veteran tentera New Zealand tiba di KLIA bagi menyertai sambutan Hari Kebangsaan 2017 di Dataran Merdeka. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Nursyahirah Marzuki
am@hmetro.com.my


SERAMAI 28 bekas tentera New Zealand yang pernah berkhidmat dalam menjaga keselamatan Malaysia kembali semula ke negara ini bagi meraikan sambutan kemerdekaan yang akan diadakan di Dataran Merdeka, esok.

Naib Presiden Kanan Persatuan Veteran Malaya New Zealand (NZMVA) Koperal Kanan William Russell, 78, berkata, dia dan rakan lain gembira apabila berpeluang kembali ke negara ini dan mendapati sudah banyak perubahan yang berlaku.

"Ini adalah kali kedua saya menjejakkan kaki ke negara ini selepas 1966, dan sudah banyak perubahan dapat dilihat, namun suasana dan masyarakat di sini masih tetap sama.

"Pelbagai kenangan yang bermain di fikiran saya terutama ketika menetap di Kem Terendak, Melaka dan saya pasti keadaan di sana juga sudah semakin berubah," katanya ketika di ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, hari ini.

Katanya, rakyat Malaysia perlu menghargai kemerdekaan yang dikecapi terutama golongan muda supaya mereka menjaga keamanan sedia ada.

"Lihat apa yang kamu ada di negara ini dan hargai jasa pejuang negara yang berkorban untuk kemerdekaan Malaysia," katanya.

Semalam, semua veteran dan ahli keluarga mereka terdahulu dibawa melawat ke Pusara Pahlawan di Jalan Taman Budaya di Kuching, Sarawak bagi mengenang sumbangan pasukan tentera New Zealand terhadap keselamatan rakyat Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2017 @ 7:58 PM