Antara dadah yang berjaya dirampas dalam beberapa siri serbuan di Kuala Lumpur. FOTO ihsan polis
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


POLIS melumpuhkan sindiket pengedaran dadah yang aktif di ibu kota selepas menahan beberapa individu dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM348,500 dalam beberapa siri serbuan di Kepong dan Jalan Ipoh, Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur Superintendan Mohd Faisal Yahya berkata, pihaknya menahan dua lelaki berusia 21 dan 22 tahun dalam operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur di Jalan Kepong.

Menurutnya, pemeriksaan menemui 47 biji pil disyaki pil ekstasi dan susulan itu, polis menyerbu sebuah rumah di Kepong dan menahan seorang lelaki dan wanita berusia 20 dan 23 tahun.

"Hasil soal siasat ke atas kedua-dua supek itu, mereka membawa polis ke sebuah lagi rumah di kawasan sama sebelum menemui 55 paket lutsinar disyaki dadah jenis metaphetamine seberat 2.8 kilogram.

"Berdasarkan penahanan empat suspek itu, pegawai dan anggota JSJN Kuala Lumpur menyerbu sebuah kenderaan di Jalan Tong Shin dan menahan seorang lelaki berusia 24 tahun," katanya.

Mohd Faisal berkata, berpandukan suspek, polis dibawa ke sebuah rumah di Jalan Ipoh dan menahan tiga individu berusia 23 hingga 26 tahun.

“Pemeriksaan di bilik suspek menemui dua paket metaphetamine, lapan paket ketamin, dua bungkusan dan 10 paket lutsinar dadah MDMA.

"Selain itu, polis turut menemui 289 pelbagai jenis disyaki pil MDMA. Suspek membawa polis ke sebuah lagi rumah di kawasan sama dan menahan seorang wanita Vietnam," katanya.

Mohd Faisal berkata, pemeriksaan ke atas rumah berkenaan menemui 300 biji pil MDMA, tiga paket dadah jenis ketamin, dua bungkus dadah jenis MDMA dan 4,400 biji pil Eramin 5 serta 1.2 kilogram.

"Polis turut menyita empat kenderaan jenis BMW dan Honda bernilai RM280,000 dan merampas barang kemas serta wang tunai RM4,200.

"Kita percaya semua individu yang ditahan ini adalah rangkaian sindiket dadah di Kuala Lumpur," katanya.

Katanya, anggaran nilai keseluruhan barang rampasan berjumlah RM348,500.

"Semua individu yang ditahan direman selama seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Dengan kejayaan tangkapan ini pihak JSJN Kuala Lumpur berjaya menumpaskan rangkaian sindiket pengedaran ATS yang aktif di kawasan Lembah Klang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2017 @ 8:16 PM