Muhammad Hariz dan Samihah bersama anak mereka. FOTO Amir Abd Hamid
Amir Abd Hamid
amir_hamid@mediaprima.com.my


“SAYA mengidam ke Masjid Al-Aqsa ketika kandungan sudah masuk bulan terakhir sebelum bersalin.

“Alhamdulillah, hari ini Allah izinkan saya," kata Samihah Aslamiah Ahmad Najdi, 27.

Dia bersyukur terpilih antara 33 jemaah ziarah dan korban di Baitulmaqdis yang bertolak ke Jordan, 10 malam ini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum ke tanah suci itu esok.

Ziarah dan korban sempena Aidiladha di Masjid al-Aqsa itu anjuran Yayasan Al Amin kendalian ALCC Al Amin Travel Sdn Bhd.

Samihah juga bersyukur dapat bersama suami, Muhammad Hariz Abdullah, 42, ke Palestin dan dua anak mereka Hritik, 2, dan Katrina berusia lima bulan.

“Saya merancang memberikan makanan pejal kali pertama kepada Katrina di Masjid Al-Aqsa sebagai mengambil keberkatan tanah suci ketiga dalam Islam itu.

"Memang saya tidak putus-putus tawakal dan berdoa semoga dapat sampai ke Baitulmaqdis.

"Setiap hari ketika Katrina masih dalam kandungan minggu terakhir saya termimpikan Masjid Al-Aqsa dan terlalu idamkan ke sana," katanya.

Muhammad Hariz berkata, tahun hadapan mereka merancang menunaikan haji.

Menurutnya, anak sulung mereka sudah bersama menunaikan umrah sebelum ini.

"Semoga tahun hadapan kami sekeluarga dapat tunaikan haji," katanya.

Sementara itu, Ketua Mutawwif, Mohd Hafez Harun berkata, selain ziarah dan korban, pihaknya juga turut membawa sumbangan untuk diagihkan kepada rakyat Palestin yang memerlukan.

Orang ramai yang berminat untuk membantu boleh melayari laman web www.yayasanalamin.com.

Sumbangan boleh dibuat menerusi akaun Maybank 5622 7260 3690 (Yayasan Al Amin). Pembayaran yang sudah dibuat perlu dimaklumkan menerusi e-mel kepada yayasanalamin76@gmail.com atau hubungi pejabat yayasan di talian 03-55232296.

Mohd Hafez berkata, Pengasas dan Pengerusi Yayasan Al Amin, Muhammad Abdullah Al Amin atau Ustaz Amin sudah pun tiba di Masjid Al-Aqsa semalam (Ahad, 27 Ogos 2017).

"Beliau akan menyertai sebaik saja rombongan kita tiba di sana," katanya.

Bekas Ketua Polis Negara yang juga Pengerusi The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) Tan Sri Ismail Omar dan isteri, Puan Sri Suriati Mat Sabri turut menyertai ziarah dan korban itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2017 @ 9:16 PM