AHMAD Yakob tertarik melihat lukisan dinding di lorong seni di kawasan bebas cukai Pengkalan Kubor. FOTO Fathil Asri
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my


PELBAGAI usaha dilakukan kerajaan negeri bagi menarik pengunjung dan pelancong datang ke Kelantan termasuk membuat seni mural di dinding di sekitar Pengkalan Kubor.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, lukisan mural dengan kos RM81,000 itu dapat menarik pelancong datang ke Kelantan sekali gus meningkatkan ekonomi rakyat.

Katanya, sehingga Julai lalu hampir 3 juta pelancong berkunjung negeri ini.

"Lukisan seni mural dinding di zon bebas cukai Pengkalan Kubor ini akan menarik pengunjung dalam dan luar negeri.

"Kita memilih dinding bahagian belakang kerana mahu orang ramai yang datang tertarik untuk singgah ke kedai belakang," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Laman Mural Seni Budaya di Pengkalan Kubor, Tumpat.

Ahmad berkata, lukisan seni mural itu hasil kerjasama antara Majlis Daerah Tumpat dengan Plan Malaysia Negeri Kelantan.

Beliau berkata, ia memberi peluang kepada pelukis terutama golongan muda untuk memberi idea bagi mengindahkan sesuatu kawasan.

"Kita juga mahu anak muda masa kini menghargai seni budaya negeri Kelantan menerusi seni mural," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2017 @ 5:24 PM