DR Zulkifli
Muhammad Saufi Hassan
saufi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Menggembalikan masyarakat kepada al-Quran akan melahirkan sifat manusia yang terbaik iaitu berakhlak mulia serta berbudi pekerti tinggi.

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, al-Quran perlu kembali sebagai manual kehidupan seharian umat Islam, sekali gus mengambil penghayatan berhubung mesej yang terkandung dalam kitab suci itu.

“Sifat manusia yang terbaik adalah berakhlak mulia, berbudi pekerti tinggi dan luhur. Sifat ini boleh dilahirkan jika masyarakat kita kembali mendekatkan diri dengan al-Quran.

“Sifat ini sebenarnya wujud pada Rasulullah. Baginda mengajar kita supaya sentiasa berakhlak dan berbudi penyayang sebagaimana yang dinaskan dalam hadis,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.

Zulkifli berkata, gerakan untuk mengembalikan masyarakat kepada al-Quran disifatkan sebagai harus dan mampu untuk membentuk bangsa berbudi dan penyayang.

Beliau berkata, sifat itu hanya boleh dilahirkan dengan penghayatan terhadap kandungan al-Quran yang mengajar manusia untuk lebih berhikmah.

“Saya secara peribadi mengharapkan melalui gerakan yang dibentuk ini dapat melahirkan bangsa berbudi dan penyayang, mempunyai sifat kasih sayang yang akan dapat menjadikan kehidupan kita sentiasa dirahmati Allah.

“Penganjuran program ini juga sangat bertepatan apabila kebetulan ia disambut pada Hari Kebangsaan. Penghayatan kemerdekaan yang kita raikan boleh diterjemah menerusi mengembalikan masyarakat kepada al-Quran,” katanya.

Mengulas aspek kemerdekaan dan tema World #QuranHour (WQH) dan Merdeka #QuranHour (MQH) iaitu surah Yasin, katanya, surah itu menggambarkan pembebasan manusia daripada penghambaan sesama manusia dan meletakkan Allah di tempat tertinggi.

“Allah ingin kita lihat bagaimana kemenangan akan wujud daripada golongan yang bersama dengan kebenaran walaupun mereka adalah golongan minoriti,” katanya.

WQH akan diadakan pada 31 Ogos di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Bagi MQH pula akan diadakan pada hari sama di Dataran Merdeka dan beberapa pengisian lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2017 @ 11:03 AM