HM Digital

Kelana Jaya: Musim haji kali ini menjadi detik paling menggembirakan buat Iswadi Samin, 45, dan isteri, Mariam Abdullah, 48, apabila mengerjakan ibadat haji bersama anak bongsu, Muhd Alif Aiman, 17.

Iswadi berkata, dia bersama isteri dan anaknya bertuah kerana berpeluang menunaikan ibadat haji bersama, malah bersyukur kerana memperoleh peluang yang sukar diperoleh itu.

“Ini adalah kali pertama kami sekeluarga menunaikan ibadat haji selepas mula mendaftar ke Tabung Haji pada 2007.

“Alhamdulillah tabungan yang disimpan sejak 10 tahun akhirnya mencukupi dan membolehkan kami mendapat panggilan haji secara serentak tahun ini,” katanya.

Menurutnya, mereka sekeluarga sepatutnya berangkat ke Tanah Suci pada 8 Ogos lalu namun disebabkan kelewatan memperoleh visa, mereka menunggu proses mendapatkan visa itu.

“Walaupun menunggu lama, saya bersyukur kepada Allah SWT kerana diberi peluang menunaikan ibadat haji bersama isteri dan anak pada tahun ini.

“Sejak 15 tahun lalu, saya bertekad membawa isteri serta anak pergi menunaikan haji memandangkan kini isteri mengalami strok rignan dan darah tinggi,” katanya.

Iswadi berkata, sementara keadaan isterinya tidak kritikal, dia ingin merealisasikan impian isteri menjejakkan kaki ke Tanah Suci bersama anak.

Sementara itu, anaknya, Muhd Alif berkata, dia berasa teruja kerana mengerjakan haji bersama ibu bapanya yang mula menabung ke dalam akaunnya ketika masih kecil.

“Walaupun masih terlalu muda untuk mengerjakan haji, saya menggunakan peluang yang diberi dengan sebaik mungkin kerana tidak lama lagi saya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Jadi, saya memanfaatkan peluang ini dengan berdoa kepada Allah SWT supaya diberi kelancaran semasa menjawab peperiksaan selain memperoleh keputusan cemerlang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2017 @ 8:19 AM