Galaxy Note8 bakal dilancarkan di Malaysia pada September ini.
HM Digital

New York: Samsung Electronics (Samsung) melancarkan model phablet, Galaxy Note8 yang lebih canggih selepas kecewa dengan kejadian menimpa Note7 tahun lalu.

Presiden Perniagaan Komunikasi Mudah Alihnya, DJ Koh berkata, tiada siapa yang dapat melupakan krisis Galaxy Note7 namun kesetiaan komuniti Note membanggakan.

“Biarpun dikecewakan, anda tetap bersama kami jadi Note8 adalah hasil kepercayaan anda,” katanya ketika majlis pelancaran Samsung Galaxy Note8, di sini.

Samsung pertama kali memperkenalkan siri Note pada 2011. Bersaiz 6.3 inci QuadHD+ Super AMOLED, Note8 hadir dengan RAM 6GB LPDDR4 dan storan 64GB, 128GB atau 256GB.

Samsung juga memperkenalkan Galaxy Note8 yang pertama kali menggunakan teknologi dwikamera masing-masing beresolusi 12 megapiksel bagi siri model Note manakala kamera depan pula mempunyai resolusi 8 megapiksel.

Meneruskan tradisi pen khas, Note8 datang dengan S Pen yang mempunyai lebih fungsi termasuk menulis pada skrin pada mod ‘off’ sehingga 100 muka surat. Galaxy Note8 bakal diperkenalkan di Malaysia pada 15 September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2017 @ 8:18 AM