Anggota bomba membantu memindahkan mangsa. FOTO ihsan bomba
Balqis Jazimah Zahari
am@hmetro.com.my


MAJLIS perkahwinan di sebuah dewan di Persiaran Industri Bercham, Ipoh, gempar apabila kawasan dewan dilanda banjir kilat hingga mengakibatkan 80 tetamu termasuk pasangan pengantin terperangkap.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, hujan lebat selama lebih sejam di bandar raya Ipoh mengakibatkan air naik setinggi kira-kira 0.6 meter di sekitar dewan berkenaan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Mohd Fauzi Abd Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.14 petang memaklumkan kejadian itu.

Menurutnya, mangsa yang terperangkap membabitkan 50 dewasa dan 30 kanak-kanak termasuk seorang Orang Kurang Upaya (OKU) serta seorang wanita mengandung.

"Setibanya jentera di lokasi kejadian didapati berlaku banjir kilat di kawasan berkenaan dengan paras air setinggi 0.6 meter.

"Bomba membantu dan membuat pemindahan semua mangsa termasuk ke kawasan selamat kerana dikhuatiri air semakin meningkat," katanya.

Mohd Fauzi berkata, ketika operasi pemindahan mangsa dilakukan, air semakin surut namun pihaknya tetap mengarahkan semua yang berada di dewan ke lokasi lebih selamat termasuk mengalihkan kenderaan.

"Seorang wanita mengandung yang terperangkap dalam banjir kilat itu juga dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh dengan menaiki kenderaan Unit Penyelamat dan Paramedik (EMRS) untuk pemeriksaan kesihatan kerana sedang mengandung tujuh bulan serta mangsa mengadu berasa lemah badan.

"Pasangan pengantin pula keluar daripada kawasan dewan berkenaan dengan menaiki kereta sendiri,” katanya.

Menurutnya, operasi tamat 7.45 malam dan tiada mangsa yang dilaporkan cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2017 @ 9:22 PM