Dr Zamihan Mat Zin Al-Ghari. FOTO arkib NSTP
Muhammad Saufi Hassan
saufi@hmetro.com.my


PERTUBUHAN Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA) menggesa pihak berkuasa agama supaya mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana organisasi yang sengaja berusaha untuk membawa masuk fahaman liberal sekali gus menghina kesucian Islam di negara ini.

Presidennya, Dr Zamihan Mat Zin Al-Ghari berkata, Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) perlu menyekat organisasi itu yang bertopengkan Islam sedangkan cuba mempromosikan fahaman liberal.

“Seperti yang kita semua tahu, pertubuhan Islamic Renaissance Front (IRF) dan kumpulan G25 antara organisasi yang mendokong idea liberal dan berusaha membawa masuk tokoh mereka ke negara ini.

“Satu usaha secara bersama perlu dijalinkan antara JAIN, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di negara ini dan pihak lain supaya kemasukan mereka ini dapat dibanteras dengan menyeluruh,” katanya hari ini.

Semalam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan bahawa IRF dan G25 berusaha membawa masuk idea liberal yang sesat ke negara ini.

Ketua Pengarah JAKIM Tan Sri Othman Mustapha dalam kenyataannya berkata, yang terkini ialah kenyataan kontroversi Dr Mun'im Sirry dari University of Notre Dame yang menjadi panel dalam program anjuran kedua-dua kumpulan itu baru-baru ini.

Zamihan berkata, kemasukan idea liberal ini bukan saja akan mencemar imej Islam sebaliknya akan melahirkan golongan yang meletakkan kefahaman agama menerusi akal mereka sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2017 @ 7:59 PM