Norsarimah hadapi 10 tuduhan salah guna kuasa babitkan nilai tender berjumlah RM272,850 di Mahkamah Sesyen, semalam.
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


Shah Alam: Seorang penjawat awam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, semalam atas 10 pertuduhan menyalahgunakan kuasa dalam pemberian tender kepada syarikat milik adik-beradiknya bernilai RM272,850 antara Januari 2013 hingga April 2014.

Tertuduh, Norsarimah Shahlan, 42, yang juga Pegawai Penyelidik di Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan (Nahrim), Seri Kembangan, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut tiga pertuduhan pertama, tertuduh yang masih bujang didakwa menggunakan jawatannya bagi mendapatkan suapan dengan mengemukakan tiga tender bernilai RM141,835 kepada syarikat TT Kasih Enterprise yang juga milik adik-beradiknya.

Tiga tender itu membabitkan pembelian tender membekalkan peralatan pejabat dan dua tender penyelenggaraan peralatan pejabat dikeluarkan pada 4, 8 dan 10 Januari 2013 di pejabatnya di Seri Kembangan.

Sementara itu, bagi empat pertuduhan seterusnya, Norsarimah didakwa menggunakan jawatannya bagi mendapatkan suapan dengan mengemukakan empat tender bernilai RM88,045 kepada syarikat milik adik-beradiknya, Blek Lipis Enterprise.

Empat tender membabitkan proses penyelenggaraan tapak projek kajian dan membekal peralatan pejabat itu dikeluarkan pada Mac dan April 2013 di pejabatnya di Seri Kembangan.

Seterusnya, bagi tiga pertuduhan terakhir, tertuduh didakwa menggunakan jawatannya bagi mendapatkan suapan dengan mengemukakan tiga tender bernilai RM42,930 kepada Arif Wibawa Resources.

Tiga tender itu dikeluarkan pada 24 September 2013, 13 Februari 2014 dan 10 April 2014 di pejabatnya di Seri Kembangan membabitkan dua tender menyelenggara tapak kajian serta membekal peralatan untuk projek kajian.

Bagi semua 10 pertuduhan itu, Norsarimah didakwa mengikut Sekyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima nilai suapan bagi setiap pertuduhan jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohammed Heikal Ismail memohon mahkamah menetapkan jaminan RM180,000 bagi semua pertuduhan itu.

Namun Norsarimah merayu jumlah berkenaan dikurangkan dengan alasan dia masih menyara ibu bapa serta adik.

Rozilah menetapkan jaminan RM70,000 dengan seorang penjamin selain perlu mendaftarkan diri setiap hujung bulan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya dan kes disebut semula pada 15 September depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2017 @ 9:45 AM