AHMAD Tamil bersama ahli keluarga sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Siti Fatimah Nasir
am@hmetro.com.my


Kelana Jaya: “Impian untuk menunaikan ibadat haji bersama isteri tidak kesampaian apabila dia pergi meninggalkan saya terlebih dulu akibat diserang strok mengejut lima tahun lalu,” kata pekebun, Ahmad Tamil, 70.

Ahmad Tamil antara 287 jemaah haji yang berangkat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Tanah Suci, pada jam 7.55 pagi semalam.

Menurutnya, walaupun sedih tidak dapat menunaikan haji bersama arwah isteri, dia perlu meneruskan niatnya menjejakkan kaki ke Tanah Suci secara bersendirian.

“Saya dan arwah isteri, Juriah Nawir, 67, mula mendaftar haji bersama-sama pada 2012 dan mendapat panggilan haji pada tahun ini secara serentak.

“Namun pada tahun saya mendaftar haji, dia terlebih dulu meninggalkan saya bersama 13 anak akibat strok,” katanya di Kompleks Tabung Haji, di sini, semalam.

Dia yang menetap di Johor Bahru berkata, walaupun isteri pergi terlebih dulu, dia perlu reda dan menerima apa yang tertulis Allah SWT.

“Sebaik menerima panggilan menjadi tetamu Allah, saya terus menitiskan air mata kerana sebak apabila terkenangkan arwah isteri yang tidak berkesempatan menunaikan haji bersama saya.

“Walaupun sedih saya tetap bersyukur kepada Allah SWT kerana diberi peluang menunaikan Rukun Islam kelima walaupun usia sudah lanjut,” katanya.

Ahmad Tamil berkata, walaupun sedih hajat untuk membawa arwah isteri pergi menunaikan haji tidak kesampaian, dia harus tabah dan kuat.

“Setibanya di Tanah Suci nanti, saya akan mendoakan kesejahteraan buat arwah isteri supaya sentiasa berada dalam kalangan orang yang beriman.

“Arwah isteri memang teringin sangat ke Makkah namun apakan daya, Allah lebih sayangkan dia dan menjemput dia terlebih dulu,” katanya.

Katanya, walaupun pergi haji secara berseorangan, dia berharap supaya segala-galanya berjalan lancar dan memperoleh haji mabrur.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2017 @ 9:19 AM