(Dari kiri) Mohd Shukri, Saeed dan Matsumoto menunjukkan bunting promosi Halfest Tokyo 2018. FOTO Rosela Ismail
Idris Musa
idris@hmetro.com.my


BUAT kali pertama, ekspo halal diterajui Malaysia akan diadakan di Tokyo, Jepun tahun depan, sekali gus memberi peluang kepada pemain industri halal mengembangkan lagi pasaran produk mereka di pentas antarabangsa.

Halfest Tokyo 2018 iaitu ekspo halal diuruskan oleh Shapers Malaysia Sdn Bhd bersama Shapers Japan dijadualkan berlangsung di Tokyo Ryutsu Centre, Tokyo dari 27 hingga 29 November 2018.  

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Shapers Datuk Mohd Shukri Abdullah berkata, Halfest Tokyo adalah pameran perdagangan dan pengguna bersepadu untuk produk dan perkhidmatan halal.

Menurutnya, ia berfungsi sebagai platform untuk usahawan halal khusus dari industri mikro, kecil dan sederhana mempromosikan produk serta perkhidmatan halal mereka sambil mengukuhkan hubungan perdagangan di Jepun.

"Halfest Tokyo merangkumi banyak aktiviti perdagangan untuk memenuhi keperluan pemain ini dalam mengeksport dari Jepun atau ke Jepun," katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC), Seri Kembangan, hari ini.

Hadir sama, Pengasas Bersama Shapers Japan Dr Saeed Akhtar dan Noriaki Matsumoto.  

Halfest Tokyo yang dibuka kepada semua syarikat kecil, sederhana dan besar serta multinasional dengan produk disahkan halal dijangka membabitkan penyertaan lebih 200 syarikat dengan 250 ruang pameran disediakan.

Ia membabitkan pelbagai sektor seperti makanan dan minuman, farmaseutikal, kosmetik dan penjagaan diri, seni dan penerbitan Islam, fesyen Islam, pelaburan Islam, perbankan dan takaful, pelancongan dan hospitaliti Islam, jentera dan peralatan, premis dan e-dagang.

Mohd Shukri berkata, ekspo halal di negara matahari terbit itu sangat menarik kerana dapat meningkatkan permintaan terhadap produk dan perkhidmatan disahkan halal dengan mewujudkan lebih banyak kesedaran dalam kalangan pengguna.

Katanya, selain itu ia dapat mendidik masyarakat antarabangsa mengenai kepentingan memilih produk dan perkhidmatan dengan logo halal serta memilih gaya hidup halal.

Sementara itu, Matsumoto berkata, ekspo halal berkenaan diharap dapat mengukuhkan lagi hubungan antara Malaysia dan Jepun khusus dalam perniagaan.

“Kami sedar produk halal mempunyai pasaran penting. Ekspo halal ini sudah tentu akan menjadi satu lambang baru bagi Tokyo," katanya.

Saeed yang juga Pengerusi Nippon Asia Halal Association (NAHA) berkata, kerajaan di sana sedar kepentingan produk halal terutama membabitkan makanan.

“Kerajaan Jepun sedar sekiranya dapat menyediakan makanan halal, masyarakat luar akan datang. Justeru, apabila kita meninjau kilang mereka, banyak bahan halal digunakan. 

“Oleh itu, jika anda dapat mengeksport produk halal lebih-lebih lagi menjelang Olimpik 2020 di Tokyo, ia dapat membantu mengembangkan lagi industri halal di sana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2017 @ 9:24 PM