MANGSA dilanggar ketika menunggang motosikal melawan arus. FOTO Omar Osman
Omar Osman
am@hmetro.com.my


TINDAKAN warga Myanmar menunggang motosikal secara melawan arus membawa padah apabila maut selepas bertembung dengan kereta di Semeling, Sungai Petani, malam tadi.

Kemalangan itu berlaku di Jalan Pintasan Bedong-Semeling berhampiran Taman Desa Semeling, 9.45 malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Saifi Abdul Hamid berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian kereta dipandu anggota polis itu dalam perjalanan dari arah Bedong manakala motosikal dari arah Simpang Empat Semeling dan ditunggang melawan arus.

Beliau berkata, pemandu kereta, Md Som Hashim, 59, dalam perjalanan untuk pulang ke rumahnya di Taman Malinja, Semeling, dan gagal mengelak sebelum berlanggar motosikal menyebabkan penunggangnya tercampak di tepi jalan.

"Penunggang terbabit, Maung Zaw berusia 30-an yang parah di kepala dan badan mati di tempat kejadian, manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan.

"Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Sultan Abdul Halim untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya dihubungi, hari ini.

Saifi berkata, siasatan awal trafik juga mendapati lokasi kejadian gelap dan jalan terbabit tidak ada lampu jalan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2017 @ 2:02 PM