Zaharudin (tengah) menunjukkan pisau digunakan suspek.
HM Digital

Muar: Berang urusan jual beli dadah tidak mengikut perjanjian awal, seorang wanita nekad merampas pisau seorang nelayan yang dipercayai pengedar dadah sebelum menikam dada lelaki berkenaan mengakibatkannya cedera parah di gerai makan di Parit Jawa, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari, mangsa berusia 38 tahun dikatakan berdolak-dalih apabila ditanya suspek berusia 26 tahun hingga berlaku pertengkaran sebelum wanita itu merampas pisau dipegang mangsa lalu menikamnya.

Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, mangsa ditikam dengan pisau pemotong sayur sepanjang 22 sentimeter di bahagian dada kanan hingga mengenai jantungnya.

“Hasil siasatan awal, kami dapati kedua-dua individu itu bergaduh disebabkan rasa tidak puas hati hingga berlaku pertengkaran dan ketika itu, mangsa memegang pisau berkenaan.

“Bagaimanapun, apabila pergelutan berlaku menyebabkan pisau itu bertukar tangan hingga suspek menikam mangsa di dada. Kejadian turut disaksikan orang awam yang berada di kawasan berhampiran lalu menghubungi polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, semalam.

Menurutnya, anggota polis yang tiba di lokasi mendapati suspek sudah melarikan diri manakala mangsa yang rebah dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Katanya, keadaan mangsa kini dilaporkan stabil, namun masih mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HPSF.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2017 @ 9:29 AM