RAKAMAN CCTV kejadian rompakan di Bayu Tinggi.
HM Digital

Klang: Polis mengesan tiga lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang yang melakukan samun di sebuah kedai serbaneka di Bayu Tinggi, dekat sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 10 malam, aksi mereka dirakam kamera litar tertutup (CCTV) kedai berkenaan ketika pekerja dan pelanggan berada di kaunter.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan awal mendapati tiga suspek berkenaan meluru ke arah pekerja dan pelanggan di kaunter.

“Dua daripada suspek memasuki bahagian kaunter dan mengarahkan mangsa membuka mesin juruwang. Pada masa sama, suspek mengacukan parang dan mengambil wang tunai RM1,800 dalam mesin itu sebelum melarikan 15 kotak rokok pelbagai jenis,” katanya.

Katanya, ketiga-tiga suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki kereta Perodua Myvi hitam dan polis sedang mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan itu untuk siasatan mengikut Seksyen 365/397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2017 @ 9:12 AM