PESERTA program Simulasi Haji Cilik 2017 anjuran PERTIM di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, semalam.
Faliq Lajim
am@hmetro.com.my


Shah Alam: Gelagat 3,200 kanak-kanak menunaikan ibadat haji secara simulasi di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, di sini, semalam, mencuit perhatian ramai.

Malah, ada beberapa ‘haji cilik’ itu turut tersesat ketika semua murid tadika terbabit melakukan tawaf di hadapan replika Kaabah yang dibina dalam Program Simulasi Haji Cilik kali keempat itu.

Berpakaian lengkap serba putih, mereka kelihatan sangat teruja, malah bersemangat untuk menunaikan rukun haji termasuk melakukan tawaf, sa’ie, wukuf dan melontar jamrah walaupun hanya simulasi.

Peserta dari Tadika Anakku Soleh, ‘Hajjah’ Nur Damia Hawani Shahril, 6, berkata, dia sangat gembira apabila berpeluang menunaikan haji kali kedua walaupun hanya simulasi.

“Saya sangat seronok kerana peluang pusing Kaabah bersama kawan dengan berpakaian ihram.

“Saya berharap selepas ini berpeluang menunaikan haji bersama ibu bapa saya pula,” katanya.

Hadir sama, Pengarah Persatuan Tadika Islam (Pertim) Datuk Nahwari Hashim.

Turut mencuit perhatian, peserta daripada Pratahfiz Luqmanul, ‘Haji’ Adam Zakwan, 4, yang sesat ketika menunaikan ibadat itu.

Namun, tindakan awal penganjur dan juga gurunya mengendalikan situasi berkenaan menemukan semula Adam dengan wakil rakan tadika lain.

“Saya tak tahu bagaimana boleh tersesat tetapi bantuan daripada cikgu membawa saya ke kumpulan tadika,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Program Simulasi Haji Cilik 4, Siti Ruzita Ramli berkata, program itu mengikut modul rukun haji sebenar dengan rujukan panel syariah.

“Kita buat satu modul dengan meletakkan tujuh checkpoint seperti bahagian imigresen, wukuf di Arafah, mabit di Mudzalifah, melontar tiga jamrah, bertahallul, saie dan tawaf.

“Semua kanak-kanak lengkap berpakaian ihram dan mereka turut dibekalkan pasport serta diiringi mutawif. Mereka melakukan ibadat mengikut modul ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, program itu bukan saja meninggalkan kenangan terindah kepada kanak-kanak, malah turut mendidik mereka, seterusnya menanam hasrat menunaikan haji pada usia muda.

Sebanyak 150 tadika sekitar Lembah Klang menyertai program berkenaan.

Program itu dilaksanakan serentak di seluruh negara, semalam dan semua jemaah haji cilik bertawaf serentak pada jam 10.30 pagi di setiap negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2017 @ 6:30 AM