RAKAMAN CCTV menunjukkan suspek bertopeng menyamun kafe siber di Selayang.
HM Digital

Gombak: Pekerja dan pelanggan sebuah kafe siber di Selayang, di sini, berdepan detik cemas apabila disamun sekumpulan lelaki bersenjatakan parang.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi kelmarin, kumpulan penjenayah dikatakan menyerbu ke dalam premis selepas memecah pintu utama premis.

Menurut sumber, suspek membabitkan tujuh lelaki menendang pintu secara bertubi-tubi bagi memecah masuk kafe siber berkenaan berikutan premis itu berkunci dari dalam.

“Sewaktu kejadian semua suspek didapati memakai topeng dan topi keledar tutup penuh serta membawa parang.

“Selepas berjaya memasuki premis, suspek meminta penjaga kaunter di premis terbabit menyerahkan wang dan mereka turut mengambil barangan berharga termasuk telefon pintar pelanggan.

“Difahamkan suspek juga dipercayai menyamun sebuah restoran di hadapan kafe siber berkenaan sebelum melarikan diri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kes samun itu.

Bagaimanapun kejadian tidak menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

Katanya, siasatan dilakukan unit forensik di lokasi turut menemui beberapa kesan cap jari suspek.

“Polis turut mengambil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kafe siber itu bagi membantu siasatan.

“Bagaimanapun, buat masa ini suspek belum dikenal pasti kerana mereka memakai topeng dan topi keledar bagi menutup muka sewaktu kejadian.

“Kami harap saksi kejadian dapat tampil menyalurkan maklumat bagi membantu polis bagi siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2017 @ 5:30 AM