Laman web Harian Metro dibuka menggunakan Galaxy Note8 yang dilancarkan di New York, hari ini. FOTO Afiq Hanif
Galaxy Note8 yang diperkenalkan hari ini di New York. FOTO Reuters
Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my


Samsung memperkenalkan Galaxy Note8 yang menggunakan teknologi dwikamera masing-masing beresolusi 12 megapiksel bagi siri model Note buat pertama kali di New York, hari ini.

Menariknya, ia diperkenalkan dengan penstabil imej optikal (OIS) dan keupayaan merakam foto bokeh yang mudah dioperasikan.

Fungsi kamera baru ini juga membenarkan rakaman video dan foto serentak bagi kamera depan serta belakang.

Dwi kamera terbabit menggabungkan lensa telefoto dan sudut lebar.

Kamera depan pula mempunyai resolusi 8 megapiksel.

Meneruskan tradisi pen khas, Note8 datang dengan S Pen yang mempunyai lebih fungsi termasuk menulis pada skrin pada mod 'off' sehingga 100 muka surat.

Selain itu, ia boleh digunakan untuk berkongsi animasi GIF dalam bentuk mesej.

Pengguna turut mampu mengawal aplikasi yang mahu ditempatkan di sisi skrin bagi notifikasi ringkas.

Selain itu, anda masih berupaya menggunakan S Pen dan menulis atau melukis di skrin meskipun peranti dalam keadaan basah.

Ia juga diperkemaskan dengan rekaan skrin dinamakan Infinity Display yang mana skrinnya penuh pada telefon bersama Always-On Display (AOD) dengan perlindungan hebat menjadikannya kalis air dan debu dengan ciri IP68. Malah dengan keupayaan bateri sehingga 3300mAh menjadikannya lebih tahan lama.

AOD memungkinkan anda boleh melihat masa, bateri dan kalendar tanpa perlu mengaktifkan telefon itu sendiri.

Bersaiz 6.3 inci QuadHD+ Super AMOLED, Note8 hadir dengan RAM 6GB LPDDR4 dan storan 64GB, 128GB atau 256GB.

Sistem pengecas pantas juga dikekalkan dalam Note8 manakala rekaan butang 'home' diubah sedikit ke atas bagi memudahkan pengguna memegang telefon ini.

Galaxy Note8 bakal diperkenalkan di Malaysia pada awal September ini namun harga masih belum didedahkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2017 @ 12:15 AM