ISHAK (tengah) diiringi anggota SPRM untuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar. FOTO Sharul Hafiz Zam
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


BEKAS Penolong Jurutera Awam Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Muda/Sik didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini atas pertuduhan terbabit dalam pengubahan wang haram.

Tertuduh, Ishak Ismail, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki wang tunai berjumlah RM1.13 juta yang mana ia adalah hasil aktiviti haram di No 67 Batu 14, Simpang Tiga, Sungai Daun, Yan, 3 petang 19 Januari lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(10 akta sama.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), A Hafiizh Abu Bakar manakala tertuduh diwakili Muhammad Arif Shaharuddin.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan, dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah sementara perbicaraan selesai.

Azman kemudian menetapkan 13 November hingga 16 November ini sebagai tarikh perbicaraan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 12:12 PM