Zainudin (tengah) menunjukkan barangan yang dirampas.
PEGAWAI polis menunjukkan tempat kanak-kanak perempuan disorokkan dalam kenderaan.
Khairul Najib Asarulah Khan
am@hmetro.com.my


Port Dickson: Gila seks mendorong suspek utama iaitu seorang penuntut institusi pengajian tinggi berusia 21 tahun melarikan kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Zainudin Ahmad berkata, siasatan mendapati lelaki terbabit sanggup bertindak melarikan mangsa bagi memuaskan nafsunya.

Menurutnya, sebelum kejadian itu suspek pernah cuba melarikan seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun dari asrama sebuah sekolah di Telok Kemang, di sini, namun gagal.

“Suspek mendakwa menceroboh masuk asrama itu dan menggunakan kain yang diletakkan cecair pencuci lantai untuk menekup mulut mangsa yang sedang tidur, antara jam 3 hingga 4 pagi pada 13 Ogos lalu.

“Suspek cuba melarikan pelajar terbabit namun gagal selepas mangsa menjerit menyebabkan dia melarikan diri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, di sini, semalam.

Katanya, keesokannya suspek bertindak pula melarikan kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun sebelum meninggalkan mangsa di tepi jalan berhampiran pondok pengawal keselamatan rumah mangsa selepas 16 jam.

Zainudin berkata, sepanjang tempoh itu, suspek mengurung mangsa di sebuah rumah di Bandar Springhill, di sini, dan mengikat serta mengugut mangsa supaya tidak melarikan diri.

“Pemeriksaan terhadap mangsa mendapati terdapat kesan luka pada kemaluan dan kecederaan di tangan serta kaki akibat diikat pada kerusi,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek juga terbabit dalam kegiatan curi motosikal.

Katanya, polis merampas pakaian dalam wanita, tiga telefon pintar, beberapa kad bank, peralatan pecah rumah selain kereta, kerusi dan tali yang dipercayai digunakan dalam kejadian melarikan kanak-kanak terbabit.

Zainudin berkata, suspek akan berdepan dengan sembilan pertuduhan di mahkamah hari ini.

Dalam kejadian 14 Ogos lalu, kanak-kanak itu disedari hilang oleh bapanya ketika mahu mengejutkannya untuk ke sekolah jam 6.45 pagi sebelum mangsa ditemui ditinggalkan di tepi jalan kira-kira jam 9 malam, hari sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 7:17 AM