Mangsa ditemui rentung di ruang tamu. FOTO ihsan bomba
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


LELAKI ditemui rentung dalam kebakaran rumah kedai di Jalan Ang Cheng Ho, Kuching, malam ini.

Dalam kejadian 8.40 malam, mangsa yang berusia 60-an itu masih belum diketahui identitinya ditemui terbaring di ruang tamu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran jam 8.46 malam.

Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuching dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Ketika pemeriksaan lanjut dijalankan selepas api padam sepenuhnya menemui mangsa di ruang tamu rumah yang terletak di tingkat tiga bangunan berkenaan," katanya hari ini.

Ling Hii berkata, berdasarkan maklumat daripada saksi, mangsa hanya tiba di bangunan berkenaan ketika api sedang marak.

Katanya, mangsa kemudiannya bergegas masuk ke rumah berkenaan walaupun cuba dihalang orang awam di lokasi kejadian.

"Mangsa kemudiannya gagal keluar dan mayatnya ditemui selepas api berjaya dipadamkan sepenuhnya.

"Berdasarkan maklumat yang diperoleh dari orang awam menyatakan mangsa adalah seorang peguam dan butiran lanjut masih dikenal pasti," katanya.

Tambahnya, mayat kemudiannya dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2017 @ 11:30 PM