Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim melihat tomato ketika melawat ladang sayur-sayuran an selepas majlis perasmian Pusat Pengumpulan, Pemprosesan Dan Pembungkusan Agroto di Kilometer 19 Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands. FOTO ABDULLAH YUSOF
Razif Rosli
am@hmetro.com.my


KERAJAAN negeri Perak berhasrat menjadikan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) di Kinta Highlands dekat Simpang Pulai sebagai model pembangunan pertanian tanah tinggi terbaik di negara ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, projek yang dikendalikan oleh Agroto Business (M) Sdn Bhd menggunakan teknologi canggih dan piawaian tinggi selain menitik beratkan faktor alam sekitar.

"Pusat ini menggunakan teknologi dari Denmark dan Itali bagi fertigasi serta pembenihan yang menjadikan hasil tanaman pusat ini atau kita gelarkan Agroto cukup berkualiti.

"Sudah tentu penggantungan terhadap hasil tanaman import juga dapat dikurangkan menerusi penghasilan produk tanaman Agroto yang setanding dengan luar negara," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian pusat itu hari ini.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah berkenan merasmikan Agroto dan turut berangkat pada majlis itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Tambah Zambry, jika sebelum ini kerajaan terpaksa mendapatkan hasil sayuran yang berkualiti tinggi seperti timun, tomato hingga berbilion ringgit dari luar negara, kebergantungan itu dapat dikurangkan dengan adanya Agroto.

"Secara puratanya kira-kira 50 tan metrik sayur dibawa turun dari sini setiap hari untuk pasaran tempatan dan eksport.

"Agroto kita jangkakan akan mampu meningkatkan pengeluaran tanaman sehinga 200 tan metrik sehari atau 6,000 tan metrik sebulan dalam tempoh dua tahun," katanya.

Tambah Zambry, produk sayuran Agroto seperti kobis, timun jepun, salanova, tomato kini berada dalam rangkaian pasaraya tempatan seperti Giant Cold Storage dan Aeon.

"Bukan itu sahaja, produk Agroto juga turut dibekalkan ke premis makanan terkemuka seperti Secret Recipe, Burger King dan KFC serta hasil di sini turut dipasarkan ke Singapura bagi pasaran luar negara.

"Oleh itu kita minta agar Agroto terus meningkatkan mutu penghasilan tanaman dan pada masa sama mengikuti piawaian dan undang-undang dalam usaha membuktikan negeri ini mampu setanding kualiti luar negara seperti Eropah," katanya.

Kata Zambry, setakat ini kerajaan negeri tidak berhasrat untuk menambah lokasi baru pertanian tanah tinggi.

"Kita kena sedar, pembangunan tanah tinggi memerlukan pengawalan ketat agar masalah pencemaran tidak berlaku.

"Jika tidak dikawal, ia akan mewujudkan masalah pencemaran serius dan bagi kerajaan negeri, kita sedia maklum selain menerima segala nasihat Sultan Nazrin Shah untuk pastikan kawasan tanah tinggi dijaga dengan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2017 @ 7:37 PM