Syed Saleh berucap pada Majlis Amanat Ketua Rombongan Haji. FOTO ihsan Tabung Haji
Nasharuddin Muhammad
nash@mediaprima.com.my


DENGAN wukuf atau Hari Arafah berbaki kurang 10 hari, semua petugas haji perlu mengekalkan semangat dan komitmen tinggi dalam menyantuni tetamu Allah di Tanah Suci.

Ketua Rombongan Haji 1438 Hijrah Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, waktu kemuncak haji sudah bermula dan semua petugas perlu bersedia menghadapi sebarang cabaran musim haji kali ini.

Menurutnya, ia penting bagi memastikan perjalanan operasi haji Malaysia terutama ketika masya'ir berjalan lancar dan tersusun seperti dirancang pihak pengurusan.

Katanya, ketika ini, kira-kira 84 peratus jemaah haji daripada keseluruhan 30,200 orang sudah berada di Tanah Suci dengan tinggal 16 penerbangan lagi yang belum tiba.

"Sebagai petugas yang bersemangat tinggi, lakukanlah kerja yang terbaik dan sentiasa menunjukkan senyuman dan kesediaan tinggi dalam memberikan perkhidmatan kepada jemaah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Ketua Rombongan Haji kepada petugas haji 1438 Hijrah di ibu pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) di Makkah, semalam.

Majlis itu diadakan serentak dan dipancarkan secara langsung dengan petugas yang berada di pejabat operasi di Madinah dan Jeddah.

Menurutnya, ketika operasi masya'ir, petugas perlu memberikan komitmen tinggi kerana ia detik paling penting yang berlangsungnya semua aktiviti rukun dan wajib haji.

"Mereka perlu memastikan urusan pergerakan jemaah, penempatan, perkhidmatan, sajian dan ibadat, pengurusan pesakit dan lainnya dilaksanakan dengan lancar dan tersusun.

"Operasi haji Malaysia selama ini diiktiraf dunia dan kita berharap rombongan petugas pada musim haji tahun ini dapat mengekalkannya.

"Dalam lawatan saya ke maktab bertemu dengan jemaah, mereka puas hati dengan layanan dan perkhidmatan diberikan petugas," katanya.

Beliau berkata, TH juga kini dalam proses untuk mendapatkan pensijilan ISO versi baru berkaitan operasi haji pada 2019.

Menurutnya, pada musim haji ini, petugas turut berdepan cabaran lebih besar berikutan pertambahan bilangan jemaah dari seluruh dunia.

Katanya, kebanyakan negara termasuk Malaysia mendapat semula kuota asal sebanyak 20 peratus, sekali gus bilangan jemaah juga meningkat 600,000 hingga 700,000 orang berbanding tahun lalu.

"Pertambahan bilangan jemaah haji ini sudah tentu akan menyebabkan kesesakan lalu-lintas. Selain itu, kawasan Arafah dan Mina ini mempunyai sempadannya yang terhad.

"Jadi, sebanyak mana pun bilangan jemaah, itulah kawasan yang ada dan ini sudah tentu akan menyebabkan keadaan khemah di Arafah dan Mina menjadi lebih sempit daripada biasa.

"Cabaran lain ialah keadaan cuaca yang panas. Pada tahun lalu, suhu ketika wukuf boleh mencecah 50 darjah selsius," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2017 @ 4:59 PM