MUHAMMAD (tengah) dan Che Sazali (kiri) bersama sebahagian warga sekolah mengayuh basikal yang dihiasi Jalur Gemilang.
HM Digital

Kota Bharu: Lebih 1,000 warga Sekolah Kebangsaan (SK) Mentuan, di sini, dan penduduk setempat menjayakan program menyemarakkan semangat Hari Kebangsaan ke-60 peringkat sekolah itu, semalam.

Program bermula jam 8 pagi dan berakhir 12.30 tengah hari itu diisi beberapa acara antaranya mengibarkan Jalur Gemilang, nyanyian lagu Negaraku, lagu Selamat Sultan dan lagu sekolah selain aktiviti kayuhan berbasikal sejauh tiga kilometer dari sekolah itu ke beberapa kampung sekitar.

Guru Besar SK Mentuan Che Sazali Che Ibrahim berkata, pihaknya tidak mahu ketinggalan dalam menyemarakkan sambutan hari kemerdekaan negara dengan mengatur program berkenaan.

Program berkenaan berjaya menarik penyertaan guru, murid, dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Mentuan serta masyarakat setempat mengambil bahagian dalam mengibarkan Jalur Gemilang selain kayuhan merdeka bagi pengisian acara bagi menyemarakkan semangat kemerdekaan.

“Seramai 300 murid dan guru serta komuniti setempat turut menjayakan kayuhan berbasikal sejauh tiga kilometer bermula dari sekolah itu menuju ke beberapa kampung sekitar termasuk Binjai,” katanya pada majlis perasmian berkenaan yang disempurnakan Ketua UMNO Bahagian Kubang Kerian Datuk Seri Muhammad Abdul Ghani.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2017 @ 6:42 AM