Anggota bomba berusaha mengeluarkan mayat Faridzul Izham yang tersepit dalam kereta. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my

PEMUDA maut selepas kereta yang dipandunya terbabas sebelum melanggar tiang elektrik di Kilometer 81, Jalan Jerangau-Jabur, Bukit Besi di Dungun, hari ini.

Mangsa, Faridzul Izham Ahadam, 32, meninggal dunia di tempat kejadian kira-kira 6 petang.

Pemandu jentolak di sebuah syarikat di Kuantan, Pahang itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke kampungnya di Telemong, Kuala Berang.

Setibanya di tempat kejadian, kereta Proton Wira dipandu mangsa dikatakan gagal dikawal selepas melalui laluan selekoh sebelum merempuh tiang elektrik.

Mangsa kemudiannya terperangkap di tempat duduk pemandu sebelum orang ramai menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS) untuk mengeluarkannya.

Ketua Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat AMBS, Jaswari Awang berkata, lapan pegawai dan anggota bomba yang ke tempat kejadian terpaksa menggunakan bantuan kren bagi menarik kereta mangsa yang melekat di tiang elektrik terbabit.

"Mayat lelaki itu berjaya dibawa keluar dari kenderaannya itu kira-kira 7 malam dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2017 @ 8:57 PM