Ibrahim menunjukkan gambar Saw Kim San yang diburu polis. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Rosliza Mohamed
am@hmetro.com.my


POLIS memburu lelaki dikenali Saw Kim San, 31, yang disyaki membunuh rakan sekerjanya di sebuah premis makanan segera di Kampung Gual Tinggi, Rantau Panjang, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Ibrahim Saad berkata, pihaknya percaya suspek yang berasal dari Jalan Besar, Tumpat masih berada di negeri ini.

"Kita minta kerjasama orang ramai yang mengenali suspek supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di talian 09-7932222.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya pada sidang media di IPD Pasir Mas, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada cinta tiga segi.

Katanya, mangsa mati akibat kecederaan parah pada bahu kiri dengan kesan satu tikaman dengan menggunakan senjata tajam.

Harian Metro pada 18 Ogos lalu melaporkan seorang lelaki berusia 33 tahun maut ditikam di sebuah premis makanan segera di Gual Tinggi, pada 5.45 petang, 17 Ogos lalu.

Sebelum kejadian mangsa menikmati makanan segera bersama seorang wanita berusia 30-an di tingkat satu premis berkenaan.

Ketika makan, seorang lelaki berusia 30-an yang membawa beg galas menghampiri mereka dan sempat berbual sebelum suspek mengeluarkan sebilah pisau dan menikamnya.

Berita berkaitan

'Cakap beberapa patah, terus tikam'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2017 @ 5:47 PM