Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


POLIS akan menyoal siasat kontraktor dan pekerja yang melakukan pengubahsuaian bangunan pusat beli-belah Kemaman Centre Point, Chukai bagi membantu mengesan tiga suspek yang merompak dua kedai emas pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, usaha mengesan suspek dilakukan bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dengan bantuan Bukit Aman.

"Ketika ini, kita sedang menyiapkan fotofit ketiga-tiga suspek dan kita juga sudah mendapatkan keterangan daripada dua anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang diikat dalam kejadian itu dan dua pemilik kedai emas.

"Kita percaya suspek adalah penjenayah profesional kerana tebukan yang dilakukan di dinding terus menembusi peti besi simpanan barang kemas.

"Tengok pada kesan tebukan, kita percaya mereka guna peralatan elektrik," katanya.

Menurutnya, polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan dan kawasan berhampiran dengan bantuan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK).

Dalam kejadian 1.27 pagi itu, tiga perompak bersenjatakan parang mengikat dua anggota RELA yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di kompleks beli belah berkenaan.

Tiga suspek dipercayai menebuk dinding sebelum memecahkan peti keselamatan simpanan emas di dua kedai barangan kemas dan melarikan hasil rompakan bernilai RM800,000.

Berita berkaitan

Penjenayah tahu selok-belok premis sasaran

Alamak CCTV tiada!

CentrePoint Kemaman dibuka semula

Tebuk dinding, peti besi

Penyamun sembunyi dalam kompleks

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2017 @ 5:12 PM