Afham Solehuddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kerana merogol gadis bawah umur. FOTO Syafiq Ambak
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


BANDUAN yang sedang menjalani hukuman penjara kerana kesalahan dadah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini, atas pertuduhan merogol gadis bawah umur sehingga menyebabkan mangsa melahirkan bayi lelaki.

Terdahulu, Afham Solehuddin Anuar, 25, dari Kuala Berang, Hulu Terengganu mengangguk faham sebelum mohon dibicarakan ketika pertuduhan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 15 tahun di gelanggang tenis Kuala Berang, Hulu Terengganu, 10 pagi pada 18 Mei 2013.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 14 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.

Mahkamah juga tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh yang kini sedang menjalani hukuman penjara kerana kesalahan dadah.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Hafizah Mohd Sokran manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2017 @ 3:46 PM