GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Baharom Bakar
am@hmetro.com.my


JAWATANKUASA Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) di seluruh negeri diminta memantau kawasan pembiakan tebuan serta bertindak segera melupuskan sarang serangga berkenaan.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) juga sudah diminta membantu untuk melupuskan sarang tebuan yang dikesan.

Menurutnya, kerajaan negeri menganggap tebuan sudah menjadi ancaman kepada penduduk berikutan empat kes disengat serangga itu sejak awal bulan ini.

"J3K diminta dapat memainkan peranan utama untuk mengenal pasti tempat pembiakan tebuan dan melupuskan sarang bagi mengelak lebih ramai menjadi mangsa.

"Orang ramai juga diminta tidak menganggu sarang tebuan bagi mengelak daripada menjadi mangsa serangan serangga terbabit," katanya selepas merasmikan kilang Alam Dingin Air Conditioning Engineering Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong di Chukai, hari ini.

Ahmad Razif berkata demikian ketika mengulas kejadian wanita warga emas, Fatimah Awang Lah, 70, dari Kampung Gerung, Besut, cedera disengat tebuan, semalam.

Sejak awal bulan ini, empat kanak-kanak termasuk dua beradik maut dalam tiga kejadian serangan tebuan yang dilaporkan di Besut dan Dungun.

Pada 2 Ogos lalu, Muhammad Adrian Aiman Mohd Rosmin, 8, murid tahun dua Sekolah Kebangsaan (SK) Benting Lintang, Besut maut disengat lebih 60 tebuan ketika bermain di halaman rumahnya.

Turut dilaporkan dua beradik meninggal dunia selepas diserang tebuan ketika bermain bersama seorang lagi saudara mereka di kawasan rumahnya di Kampung Batu Tiong, Dungun pada 8 Ogos.

Iffriah Darwisha Abdul Wahab Al Hadi, 3, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Dungun, 10.30 malam pada hari kejadian manakala kakaknya, Irdina Batrisyia, 8, pula meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kira-kira 2 pagi pada 10 Ogos.

Pada 17 Ogos lalu, kanak-kanak berusia dua tahun, Puteri Nur Aisyah Azahar meninggal dunia ketika menerima rawatan di HSNZ selepas dirujuk dari Hospital Besut berikutan diserang tebuan.

Kanak-kanak itu diserang sekumpulan tebuan yang bersarang di kedai terbiar berhampiran rumahnya dalam kejadian 12.45 tengah hari.

Berita berkaitan:

Warga emas disengat tebuan

Warga emas disengat tebuan

Tragedi pilu disengat 30 tebuan

Ajal disengat lebih 60 tebuan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2017 @ 3:07 PM