PETUGAS Unit Kaunseling menziarahi jemaah wanita di bilik mereka.
Nasharuddin Muhammad
nash@mediaprima.com.my

Makkah: Jemaah haji yang mempunyai masalah membabitkan hubungan suami isteri, rakan sebilik atau hal peribadi lain diminta bertemu kaunselor bertauliah disediakan Lembaga Tabung Haji (TH).

Pengurus Unit Kaunseling 1438 Hijrah Fauziah Ahmad berkata, jemaah tidak perlu bimbang atau malu kerana segala butiran maklumat ketika sesi runding cara adalah rahsia.

Menurutnya, aspek kerahsiaan adalah keutamaan dalam mana-mana kes yang dirujuk ke Unit Kaunseling.

Katanya, petugas Unit Kaunseling adalah kaunselor terlatih yang terikat dengan etika dan peraturan termasuk mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Kaunselor 1998 (Akta 580).

Beliau berkata, bagi kes membabitkan suami isteri atau rakan sebilik yang memerlukan runding cara tertutup, pihaknya menyediakan borang persetujuan.

“Kedua-dua pihak yang dirunding dan kaunselor perlu menandatangani borang bagi menjaga kerahsiaan,” katanya di ibu pejabat TH Makkah.

Menurutnya, pihaknya mempunyai tujuh kaunselor termasuk daripada Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) yang bertugas pada musim haji kali ini.

Katanya, selain menunggu jemaah mengadu, mereka melakukan ziarah dari bilik ke bilik secara rambang bagi memberi semangat dan motivasi kepada mereka.

“Kami juga menyediakan program khas penjagaan warga emas tanpa waris berusia 70 tahun ke atas dan datang bersendirian yang akan dibantu ketika operasi masya’ir,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, sebanyak 16 kes dirujuk kepada pihaknya di Makkah dan 21 kes di Madinah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2017 @ 4:58 AM