ANTARA suspek yang ditahan menunggu giliran untuk melakukan saringan ujian air kencing.
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Hidu gam untuk melawan naga menggunakan kuasa api bersama rakan.

Itu alasan melalut diberikan sekumpulan empat remaja bawah umur yang ditahan sepasukan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sewaktu mereka sedang khayal menghidu gam di Chow Kit, di sini, semalam.

Sewaktu ditahan semua remaja lelaki berusia 15 hingga 16 tahun terbabit didapati memegang plastik hitam berisi gam dan sedang berhalusinasi.

Difahamkan semua suspek sudah berhenti sekolah dan mereka mendakwa melakukan kegiatan itu bagi menghilangkan perasaan bosan serta berseronok bersama rakan.

Bagaimanapun, tindakan mereka membawa padah apabila dicekup AADK menerusi Op Perdana 2017 yang dilaksanakan di sekitar ibu kota.

Kumpulan remaja terbabit adalah antara 116 individu yang ditahan menerusi operasi bersepadu yang dilaksanakan selama 24 jam bermula pukul 3 pagi.

Ketua Pengarah AADK Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin berkata, menerusi operasi terbabit seramai 95 pegawai dan anggota dikerahkan termasuk sukarelawan daripada Angkatan Pertahan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Operasi dilaksanakan menerusi dua sesi iaitu sesi pertama bermula jam 3 pagi hingga 4 petang dan sesi kedua pula bermula jam 10 malam hingga 2 pagi membabitkan lokasi di Sentul, Brickfields, Wangsa Maju, Pantai Dalam, Cheras dan Setapak.

“Serbuan dilakukan membabitkan kawasan menjadi tumpuan penagihan, pusat hiburan dan judi dalam talian.

“Hasil operasi terbabit kami melakukan saringan ujian air kencing terhadap 193 individu dan hasil saringan mendapati 116 orang termasuk 10 wanita didapati positif dadah jenis heroin, syabu serta ganja,” katanya pada sidang media di AADK Sentul, di sini, semalam.

Abd Halim berkata, hasil penahanan semua suspek turut membawa kepada penemuan 20 paket dadah jenis syabu seberat 0.82 gram.

Katanya, semua suspek termasuk enam remaja bawah umur dibawa ke AADK Sentul untuk tindakan lanjut.

“Suspek berusia 15 hingga 68 tahun terbabit ditahan bagi tindakan lanjut mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2017 @ 7:11 AM
Skip this ad x