Mangsa maut di tempat kejadian selepas kereta dipandu merempuh pokok. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim
am@hmetro.com.my


SEORANG lelaki maut selepas kereta dipandu merempuh pokok di Kilometer 42.5 Jalan Batu Pahat-Mersing berhampiran Kampung Rahmat, Kluang, 4.20 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Muhamad Laham berkata, Loy Cern Chia, 26, dipercayai dalam perjalanan dari arah Ayer Hitam balik ke kediamannya di Taman Desa, Kluang.

Katanya, mangsa yang memandu Honda City bersendirian dikatakan hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebatang pokok.

"Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan maut di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang tiba sejurus kemudian.

"Mayat dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh keluarga," katanya ketika dihubungi hari ini.

Muhamad berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan meminta pengguna jalan raya yang menyaksikan kejadian itu tampil menyalurkan maklumat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2017 @ 6:59 PM