Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


POLIS tidak menolak kemungkinan rompakan dua kedai emas di pusat beli-belah Kemaman Centre Point, Chukai, semalam, dilakukan kumpulan warga asing yang sudah mengkaji selok-belok kompleks dan kedai emas sasaran mereka.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati rompakan itu dilakukan suspek warga asing namun pihaknya masih belum memperoleh bukti yang kukuh untuk mengesahkan perkara itu.

"Kita sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti identiti tiga suspek yang menebuk dinding sebelum melarikan barang kemas bernilai RM800,000

"Berdasarkan maklumat daripada pemilik sebuah daripada kedai emas terbabit, pihaknya mendapati premis berkenaan baru saja diubah suai.

"Jadi kita sedang siasat sama ada rompakan berkenaan dilakukan pekerja buruh yang terbabit dalam kerja mengubah suai kedai emas itu atau tidak," katanya ketika dihubungi, di sini.

Dalam kejadian 1.27 pagi itu, tiga perompak bersenjatakan parang mengikat dua anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di kompleks beli-belah terbabit.

Tiga suspek dipercayai menebuk dinding sebelum memecahkan peti keselamatan simpanan emas di dua kedai barangan kemas dan melarikan hasil rompakan bernilai RM800,000.

Berita berkaitan

'Alamak CCTV tiada!'

CentrePoint Kemaman dibuka semula

Tebuk dinding, peti besi

Penyamun sembunyi dalam kompleks

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2017 @ 3:55 PM