TERTUDUH (tengah) diiring pegawai SPRM ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. FOTO Syafiq Ambak
Zatul Iffah Zokiply
zatuliffah@hmetro.com.my


PEMBALAK mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini, terhadap dakwaan memberi suapan wang tunai sebanyak RM2,000 kepada Penolong Pegawai Jabatan Perhutanan.

Terdahulu, Chow Kwee Chai, 47, mengangguk faham sebelum memohon untuk dibicarakan selepas kertas pertuduhan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dibaca di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh memberi wang tunai berjumlah RM2,000 kepada Ilias Awang yang bertugas di Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu.

Tertuduh didakwa berbuat demikian sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan terhadap balak yang tidak mempunyai Cop Tukul Hasil ketika pemeriksaan dan didapati melanggar undang-undang mengikut Seksyen 68 Akta Perhutanan Negara 1984.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Mukim Binjai, Kemaman pada 12.30 tengah malam, 9 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika disabitkan dengan kesalahan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 14 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Amer Abu Bakar Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Chow diiring pegawai SPRM ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. Foto Syafiq Ambak

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2017 @ 2:08 PM